Thursday, October 29, 2009

Doa Kami


Wahai pemilik cinta yang hakiki,
pandulah kami..bimbinglah kami.
Jangan biarkan kami sendiri melayari kehidupan ini.
Biarlah kesakitan yang ENGKAU berikan sebagai kaffarah dosa dan silap kami.
Sakit yang nampak di mata, jua sakit yang menyelinap ke dalam jiwa.
Bantulah kami untuk mensucikan ruh dan hati.
Izinkan kami menyintai dengan Cinta dan Kasih yang suci dari-Mu..
Sesungguhnya cinta, kasih dan sayang kami hanya kerana-Mu,
Ya Rabbi.”

Wednesday, October 21, 2009

Selamat Hari Lahir.. Iman

22hb Oktober 2008
Dilahirkan di Hospital Kuala Pilah, Negeri Sembilan. Kelahiran yang dinanti-nantikan sekian lama oleh pasangan Zainudin + Wasimah (Pak Teh & Mak Teh), anugerah yang tidak terhingga dari Maha PENCIPTA. Merupakan putera tunggal yang pasti kehadirannya menambahkan seri & kecerian keluarga. Semoga bertambahlah pintu-pintu rezki buat kalian sekeluarga.
Kehadiran Iman.. merupakan warga BAKKAD yang ke-33, Cucu Aki & Uwan yang ke 14, Anak ke-3, BAKKAD mendoakan semoga Iman menjadi anak yang soleh dan yang berbakti kepada kedua orang tuanya, yang tabah & sabar melalui ujian mendatang bila dewasa kelak. Setahun sudah lahir ke dunia ini, lahir bersama kesucian & amanah.
Ni.. gula-gula untuk iman.. tapi gambar jek tau.. Iman tak boleh makan betul-betul, nanti lekat kat tekak plaks, lagipun Iman tak boleh makan sebarangan... nanti tak pasal-pasal bengkak sana sini.
1001 wajah iman yang pastinya menghiburkan.. semakin hari makin menjadi-jadi keletah dia.. ada saje perkara baru yang dia nak buat. Alhamdulillah atas nikmat ALLAH yang tidak terhingga ini.

Wednesday, October 14, 2009

Raya Dulu-Dulu...

Alhamdulillah kita masih berkesempatan menyambut Syawal 1430 Hijrah yang baru je berlalu. Hari ni dah 26 Syawal mood raya pun dah sampai ke penghujungnya.. apa kata kita sesekali moh kita megimbau kenangan dulu-dulu time kita menyambut raya.

Gambar yg kat atas ni raya tahun 2002 sempat di capture semasa 2 keluarga besar ini (Keluarga Baharudin Ibrahim + Adnan Ibrahim) menziarahi Uwan Yah (Kamariah Ibrahim) di Kampung Mela, Kuala Lipis tp didalam gambar ni hanya sebahagian sahaja yang sempat posing yang lelain tengah ralit makan lagi kot.

Yang ni plak raya tahun 1987, 22 tahun berlalu.. bergambar di halaman rumah Aki. Dari kiri : Along, Mak Chu, Mak Lang & Mak Chek, atas dukung tuh Rasyidi bin Baharin. Sekarang deeme nih semer dah dewasa.
Yang ni lagi klasik... raya tahun 1988. Waktu Aki cuma punyai seorang cucu iaitu 'Along' serta 2 orang menantu dan kalu kita lihat Aki & Uwan pun masih muda belia time ni.. kalau tak silap ikut perkiraan umur Aki & Uwan dalam pertengahan 40 an.
Gambar yang ni lagilah betambah-tambahlah klasiknya.. raya tahun 1983. Aki & Uwan punyai 8 orang anak, iaitu Jamiah Adnan(21thn), Baharin Adnan(19thn), Kasmiah Adnan(15thn), Wasimah Adnan(13thn), Shamil Adnan(11thn), Shukran Adnan(9thn), Jasminah Adnan(7thn) & Azlida Adnan (atas riba) bergambar dihalaman rumah dan yang ditugaskan amik gambar ni anak jiran depan rumah.
Segala-galanya adalah kenangan... dan kenangan indah inilah yang perlu kita simpan dan dikenang selalu kerana dengan kenangan dan silaturrahim yang terjalin 'kerana ALLAH' juga bisa buat hati kita sentiasa bertaut antara satu sama lain. InsyaALLAH...

Tuesday, October 13, 2009

Makan Kenduri

10hb Okt 2009, BAKKAD memenuhi jemputan majlis nikah kahwin bapak saudara Aki di Batang Kali. Bagi penulis buat pertama kalinya kesana, perjalanan bermula seawal pagi dari rumah Aki.. sejurus aje lepas sarap makan nasi lemak yang Aki beli. Aki kata dia nak sampai awal, kalau boleh jam 10 pagi.. Aki kata "kalau sampai awal bolehlah berborak lama-lama sket dengan puak @ waris yang dah sekian lama tak jumpa".
Dalam perjalanan drpd Genting Highland ke Batang Kali keadaan jalannya sangat menguji kecekapan si pemandu yang pertama kali melalui jalan yang seperti ular kena palu dan juga menguji ketahanan Uwan yang selama ini mudah mabuk bila naik kereta melalui jalan yang begitu. Alhamdulillah pemanduan bejalan lancar dan Uwan pun girang tanpa ada tanda-tanda kemungkinan akan mabuk. Sempat juga kami singgah di 1 tempat yang sangat cantik dengan sungai yang banyak batu-batan.. airnya yang jernih... dingin salju.. terasa macam dipanggil-panggil je untuk merendamkan diri dalam sungai tuh... betapa damai & permainya memang mempersona mata yang memandang dan hati yang merasai betapa indah ciptaan-NYA
Jam 10.30pg maka sampailah kome di rumah kenduri Genting Permai.. kira sesat barat jugak kome mencarinya.. sampai ke Ulu Penin sana kami sesat.. alhamdulillah takdelaa sampai kome semua jadi pening. Tuan punya kenduri ni sebenarnya adalah bapak sedara sepupu Aki. Pangkat jek bapak sedara tapi orangnya jauh muda drpd Aki. (Khairuddin bin Ya'kob Baginda)
Sesampai aje kome teruslaa dijemput untuk makan... waah bukan selera lagi masing-masing makan... apa tidaknya sebab ada sambal tempoyak goreng.. itu yang boleh jadi 2 pinggan.

Majlis ini sangat meriah dan ramai puak waris bertemu. Boleh dikatakan kenduri ini berjaya mengumpul & mempertemukan sebahagian besar waris Mahmood Baginda dengan waris Ya'kob Baginda. Ini semua hasil usaha Tn. Hj. Moktar b Mahmood Baginda. Kesungguhan dan semangat kekitaan yang ditunjukkan oleh beliau memang patut sangat kita saudara muda ni ikut dan amik contoh
Maka disini jugalah terjalain perkenalan... sebabnya ada jugak saudara yang tak tahu saudaranya sendiri.. contoh PakAnjang, alih-alih terjumpa x boss.. cerita punya cerita rupanya selama ni 'kita bersaudara'.
Antara waris kuat Mahmood Baginda & Ya'akob Baginda... Al-fatihah buat ke-2 moyang kome nih... semoga roh kalian dicucuri rahmat hendaknya.. aminnnnSelesai berkenduri di Gentiing Permar, kami sambung kenduri di rumah Abg Aki.. iaitu Baharudin bin Ibrahim (Aki Din) malam tuh BAKKAD beserta Aki Ta (Tn. Hj. Moktar) singgah beraya di Shah Alam. Siap makan kome pun balik dan bermalam di Bangi rumah Pak Anjang (Shamil Adnan). Dalam perjalanan balik tuh sempat lagi kome singgah kat satu Empangan terletak di Jalan Hulu Yam - Gombak.
p/s : 'kome' tuh dlm loghat orang kuala krau maknanya 'kami'

Wednesday, October 7, 2009

Suku Abad Berlalu...

Mei 1984 - Adalah buat julung kalinya Aki & Uwan mengadakan kenduri kahwin sempena Maklong & Paklong disatukan. Waktu ini kiranya golongan awalin lah jugak bagi generasi Jenderak Utara yang menganjurkan majlis-majlis macam gini. Ermmm masa tuh 'orang yg menulis ni' baru berusia 8thn. Meriah sangat rasanya bukan kepalang.. maklumlah pada majlis ini jugaklah Aki & Uwan berjaya mengumpul seramai mungkin sedara-mara dari ke2-2 belah pihak... dan dorang sangat 'sporting' kerana masing-masing datang dengan tugas masing-masing. Semua tugas dijaya secara gotong-royong.
Gambar yang kat atas ni, adalah 1 potret yang sangat berharga buat BAKKAD dan memberi seribu makna, ianya sempat dirakamkan diakhir majlis pada hari yang bersejarah itu. Dalam gambar ni kalu kita nengok semua orang nampak muda belia. Dibarisan belakang sekali tu boleh jugak dianggap sebagai 'hulubalang' coz mereka antara orang kuat menjayakan majlis. Dan ada jugak antara mereka yang di atas tuh telah kembali menemui-NYA.. Al-fatihah
Dan yang ini plak.. pun terdiri daripada saudara sepupu jugak. Waktu ni dorang ni semua tengah nakal & aktif kehulu-kehilir. Pada hari kenduri tuh.. dorang adalah golongan yang paling sibuk sekali... 'sibuk bemain dan sibuk mengacau' tapi sekarang dorang ni semua dah dewasa dan masing-masing dah ada 2-3 orang anak. Tapi kini dorang sesekali bertemu hanya time raya ataupun kalau ada majlis tertentu..
Jugak gambar diatas ni.. (orang yg menulis pun ada dalam ni tp rahsia). Segala-galanya adalah kenangan & memori yang tak mungkin dilupakan... kerana sehingga hari ini & saat ini masih belum kami mendapat peluang untuk berkumpul sanak saudara seperti 25 thn yang lalu.

Dan buat Maklong & Paklong, Tahniah BAKKAD ucapkan atas rumahtangga yang dibina telah berusia suku abad, pastinya berbagai ranjau yang ditempuhi dan asam garam yang telah dirasai. Semoga semuanya kekal bahagia hingga ke hujung nyawa... aminnn..

Monday, October 5, 2009

Betengkar Cara (+)

Rasulullah bersabda, "Sesiapa meninggalkan perdebatan, sedang dia berada di pihak yang benar, dibina untuknya sebuah rumah di tengah-tengah syurga."
(Riwayat Anas Bin Malik)

Tidak indahkah dijanjikan dengan sebuah rumah di tengah-tengah syurga? Sekalipun kita di pihak yang benar, namun untuk mengelakkan perbalahan berpanjangan, mengalah sahajalah. Rugikah kalau beralah? Bagi sesetengah orang yang mementingkan diri sendiri mungkin tidak munasabah jika mahu beralah tetapi apa kata kalau saya katakan ‘orang yang beralah akan menang besar kemudiannya?’

Pergaduhan suami isteri akan sentiasa berlaku. Bak lagu P.Ramlee ‘Sedang lidah lagi tergigit’. Anda tidak akan sentiasa boleh berkata ‘ok’ kepada isteri anda begitu juga dia. Setiap kali pergaduhan berlaku, pasti akan ada hati yang akan terluka terutamanya hati orang perempuan yang memang diketahui tidak dapat diramalkan.

Jika pergaduhan itu berpunca daripada sesuatu yang sangat kecil, maka jika kita perbesarkan, maka akan terlihatlah peribadi sebenar seseorang itu. Sungguh akan terlihat betapa hodoh sekali seseorang itu tambahan pula, mulutnya mudah sekali melancangkan kata-kata yang tidak sedap didengar.

Sabda Rasulullah s.a.w:
"Orang mukmin bukan seorang pencela, bukan seorang pengutuk, bukan seorang yang keji dan bukan seorang yang berkata kotor."
(Riwayat Ibnu Mas’ud RA)

Dalam sabda ini, dapatlah kita fahami bahawa orang yang berkata keji bukanlah orang mukmin sebenar. Betapa iman kita dapat disukat dengan perlakuan yang sangat keji ini.

Pernahkah anda melihat pergaduhan suami isteri ini daripada sudut yang positif? Sebenarnya, pergaduhan akan menyebabkan terbentuknya satu penyatuan pelbagai perkara termasuklah cita rasa dan impian pasangan itu. Bagi mencapai tujuan inilah kita sering bertelingkah dengan pasangan untuk mencapai sesuatu yang terbaik. Tidaklah saya maksudkan pergaduhan adalah baik, namun hal ini adalah lebih baik daripada kita berdiam dan tidak berbincang sehingga akhirnya tidak ada penyatuan antara suami dan isteri.

Justeru, pergaduhan menjadi medium kepada pasangan dalam menyatukan kasih sayang. Setiap individu akan melahirkan perasaan tidak puas hati dan sebagainya. Maka, di sini adalah tempat untuk mencurahkan perasaan. Jadi, janganlah memendam perasaan sehingga jiwa kita menjadi tertekan ibarat belon yang akan pecah akibat ditiup dengan angin yang kuat. Jika tidak diluahkan, pasangan anda tidak mungkin akan tahu perkara yang ada dalam hati anda.
Di sini, saya akan kongsikan beberapa tip untuk bertengkar secara positif:

1. Jangan terlampau banyak bercakap – Ketika bertengkar, hati masing-masing pasti dalam keadaan marah. Ketika marah, pasti perkara yang logik sekalipun tidak diterima melainkan masing-masing mahu menegakkan pendapat masing-masing. Jika anda sebagai suami mempunyai hak untuk bercakap sekalipun, kurangkan daripada terlalu menegakkan pendapat anda sendiri. Hal ini akan mencetuskan perasaan tidak puas hati kepada pasangan anda sehingga perlahan-lahan dia akan menjadi bosan dengan anda. Yang perlu anda lakukan adalah dengan memikirkan secara mendalam cara untuk mem-betulkan keadaan.

2. Jangan menyebut kelemahan pasangan – Bukan hanya isteri anda yang mempunyai kelemahan, anda juga ada ke-lemahan sendiri. Jadi, dengan mengungkit kelemahan dia, anda akan turut merangsang pasangan mengungkit kelemahan anda. Lagi pula, anda tidak akan menang dengan hanya mengungkit sebegini tetapi menyebabkan keadaan lebih parah. Jika mahu menegur pasangan, minta dia meluahkan ketidak-puasan hatinya tentang anda dahulu supaya apabila giliran anda nanti, dia tidak akan meninggikan suara.

3. Jangan membalas perbuatannya – Sebagai contoh, pasangan anda bermesra-mesra dengan lelaki sebelah rumah. Anda mahu membuatkan dia sedar bahawa perbuatannya salah. Jangan anda pula bermesra-mesra dengan perempuan lain di hadapan dia. Keadaan ini hanya memberi peluang yang lebih kepada isteri anda untuk menjauhi anda. Akhirnya, anda turut terlibat dalam menjarakkan perhubungan anda sendiri.

4. Jangan cuba mengubah pasangan – Anda dibesarkan dalam keluarga ‘begini’, isteri anda dibesarkan dalam keluarga ‘begitu’. Pastilah terdapat perbezaan antara kedua-duanya. Anda harus memahami bahawa cara dia melihat sesuatu pasti tidak sama dengan pandangan anda.

5. Fokus pada masalah – Jangan meleret-leret sehingga perkara yang bukan masalah akhirnya akan turut menjadi masalah.

6. Jangan tinggikan suara – Semakin tinggi suara kita ketika bergaduh, semakin tinggilah suara pasangan kita nanti. Pergaduhan seperti ini tidak akan menjadikan keadaan semakin baik malah semakin kusut. Cubalah bercakap dengan tenang sehingga isteri anda yang sedang marah akan turut tenang dan seterusnya dapat menyelesaikan masalah dengan lebih cepat.

7. Gunakan panggilan manja – Ada pasangan yang pada masa biasa menggunakan panggilan ‘sayang’ atau ‘manja’ tetapi ketika bergaduh, keadaan akan beralih sebaliknya. Panggilan kasar mengambil alih menyebabkan pasangan anda merasakan dirinya rendah sekali. Jangan emosi sehingga tergamak menggunakan panggilan kasar termasuklah ‘aku’ dan ‘kau’.

8. Elakkan terlalu emosional – Ketika sesi bergaduh ini, pasti pasangan anda akan selalu terlepas mulut. Jadi, jangan ambil perkara yang dikatakannya terlalu serius memandangkan ketika sedang bergaduh, seseorang itu cenderung berkata yang tidak-tidak terhadap lawannya.

9. Gunakan perkataan yang baik-baik – Selain menggunakan panggilan manja, gunakanlah juga perkataan yang tidak menyalahkan. Perkara ini akan menyebabkan masalah akan cepat selesai. Antara contoh perkataan yang boleh anda gunakan ialah, "Abang rasa sayang tak patut buat macam ni," berbanding "Ni semua salah engkaulah!"

10. Jangan bertengkar di depan makanan atau di tempat tidur – Hal ini kerana tempat tersebut sepatutnya tempat kita menjamu selera dan bermesra-mesra sesama sendiri.

11. Dengar luahan isteri – Mungkin sahaja perkara yang disampaikan oleh isteri anda itu dapat menyelesaikan masalah. Jika anda hilang tumpuan ketika ini, bukan sahaja anda akan kehilangan idea yang baik malah anda menggunakan cara sendiri yang belum tentu dapat menyelesaikan masalah anda berdua.

12. Jangan bergaduh di depan anak – Dengan bergaduh di hadapan anak, anda hanya akan membuatkan anak keliru dan mengadili sama ada ibu atau bapa mereka yang berada di pihak benar atau salah. Perkara yang lebih menakutkan akan berlaku jika anak anda menceritakan keadaan anda berdua kepada orang luar. Hal ini akan menjejaskan imej anda sekeluarga.

13. Bersabar – Sekalipun anda lelaki dan anda lebih kuat secara fizikal berbanding dengan isteri anda, jangan sekali-kali anda cuba untuk mengasari isteri anda. Dibimbangi dia juga akan belajar untuk melawan dan membaling segala jenis pinggan mangkuk ketika bergaduh pada masa lain.

14. Say NO to third party – Selagi terdaya menyelesaikan masalah anda sendiri, jangan libatkan orang lain. Campur tangan pihak ketiga kebanyakannya hanya menyulitkan keadaan. Sekiranya perlu, pilihlah orang yang adil untuk menyelesaikan masalah anda.

15. Mengalah tidak bererti kalah – Mengalah ketika saat genting ini tidak menunjukkan anda kalah. Anda hanya perlukan masa untuk membuktikan bahawa tindakan anda sebenarnya betul.

16. Jangan keluar dari rumah sebelum selesai – Selalu menonton drama di TV? Kebanyakannya menunjukkan suami akan segera meninggalkan rumah semasa bergaduh untuk memudahkan cerita. Tindakan ini sebenarnya akan menyebab-kan isteri anda ditinggalkan dalam keadaan keliru. Hal ini menyebabkan dia akan berasa tertekan dan anda perlu ingat bahawa anak-anak akan ditinggalkan bersamanya di rumah. Perempuan yang hilang kewarasan akibat tekanan yang dahsyat akan menyebabkan mereka akan bertindak yang bukan-bukan. Mungkin sahaja dia akan memudaratkan dirinya atau anak-anak anda boleh menjadi mangsa keadaan. Sekiranya anda rasa tidak dapat menahan marah, beritahu isteri anda bahawa anda perlukan sedikit ketenangan dan hal ini lebih menampakkan rasa tanggungjawab anda terhadap permasalahan anda berdua.

17. Luahkan – Selain menjadi pendengar kepada permasalahan isteri, anda turut perlu meluahkan perasaan anda. Tunggu sehingga dia habis berbicara sebelum anda menyambung pendapat anda. Sekiranya anda tidak memberitahu keadaan sebenar anda, belum tentu dia dapat memahami keadaan anda.

18. Pelukan dan kemaafan – Hal inilah detik paling indah dalam pergaduhan. Setelah dirasakan masalah telah selesai, jangan melewatkan detik untuk memeluk pasangan anda seeratnya. Ucapkan perkataan maaf dan berharap agar perkara seperti itu tidak akan berlaku lagi. Keadaan ini akan menyebabkan perhubungan anda selepas itu lebih erat dan mantap dengan satu kesatuan hati yang lebih hebat.

Artikel di atas dipetik daripada Bab 9: Sedangkan Lidah Lagi Tergigit dalam buku Manual Kerja Super Suami. Maklumat lanjut berkenaan buku ini boleh didapati di www.books.perintis.com.my.