Assalamualaikum wbt.
Sebagai perkongsian dan nilai tambah kepada kita semua dalam pada kita hari-hari berusaha bekerja mencari Rezeki Allah buat belanja diri dan keluarga. Mungkin dengan kita meluangkan sedikit masa untuk membaca dapat memberi tambahan ilmu kepada diri sebagai panduan untuk kita sama-sama mengamalkannya secara sedikit-sedikit serta istiqomah. Insyaallah...
Artikel yang Maklang petik dari http://myibrah.com/ dalam blog ni banyak sangat ilmu berguna dan sebagai ilmu kehidupan untuk kita hidup serta sangat-sangat sesuai untuk kita semua.
Selamat membaca......
-------------------------------------------------------------------------------------------
Amalan-amalan ini menjadi sebab Allah
limpahi hamba-Nya dengan keluasan rezeki dan rasa kaya dengan pemberian-Nya.
Berdasarkan konsep rezeki yang telah diperkatakan, Allah memberi jalan buat
setiap hamba-Nya untuk memperolehi rezeki dalam pelbagai bentuk yang boleh
menjadi punca kebaikan dunia dan akhirat.
Diantaranya:
1. Menyempatkan diri beribadah
Allah tidak sia-siakan pengabdian diri
hamba-Nya, seperti firman-Nya dalam hadis qudsi:
“Wahai anak Adam, sempatkanlah untuk
menyembah-Ku maka Aku akan membuat hatimu kaya dan menutup kefakiranmu. Jika
tidak melakukannya maka Aku akan penuhi tanganmu dengan kesibukan dan Aku tidak
menutup kefakiranmu.” (Riwayat Ahmad, Tirmizi, Ibnu Majah dan al-Hakim dari
Abu Hurairah .a.)
2. Memperbanyak istighfar
Istighfar adalah rintihan dan pengakuan
dosa seorang hamba di depan Allah , yang menjadi sebab Allah jatuh kasih dan
kasihan pada hamba-Nya lalu Dia berkenan melapangkan jiwa dan kehidupan si
hamba. Sabda Nabi s.a.w.:
“Barang siapa memperbanyak istighfar maka
Allah s.w.t akan menghapuskan segala kedukaannya, menyelesaikan segala
masalahnya dan memberinya rezeki dari arah yang tidak disangka.” (Riwayat
Ahmad, Abu Daud, an-Nasa’i, Ibnu Majah dan al-Hakim dari Abdullah bin Abbas
.a.)
3. Tinggalkan perbuatan dosa
Istighfar tidak laku di sisi Allah jika
masih buat dosa. Dosa bukan saja membuat hati resah malah menutup pintu rezeki.
Sabda Nabi s.a.w.:
“… dan seorang lelaki akan diharamkan
baginya rezeki kerana dosa yang dibuatnya.” (Riwayat at-Tirmizi)
4. Sentiasa ingat Allah
Banyak ingat Allah buatkan hati tenang
dan kehidupan terasa lapang. Ini rezeki yang hanya Allah beri kepada orang
beriman. Firman-Nya:
“(iaitu) orang-orang beriman dan hati
mereka menjadi tenteram dengan mengingati Allah . Ingatlah, hanya dengan
mengingati Allah hati menjadi tenteram.” (Ar-ra’d: 28)
5. Berbakti dan mendoakan ibu bapa
Dalam hadis riwayat Imam Ahmad,
Rasulullah s.a.w. berpesan agar siapa yang ingin panjang umur dan ditambahi
rezekinya, hendaklah berbakti kepada ibu bapanya dan menyambung tali
kekeluargaan. Baginda s.a.w. juga bersabda:
“Siapa berbakti kepada ibu bapanya maka
kebahagiaanlah buatnya dan Allah akan memanjangkan umurnya.” (Riwayat Abu
Ya’ala, at-Tabrani, al-Asybahani dan al-Hakim)
Mendoakan ibu bapa juga menjadi sebab
mengalirnya rezeki, berdasarkan sabda Nabi s.a.w.:
“Apabila hamba itu meninggalkan berdoa
kepada kedua orang tuanya nescaya terputuslah rezeki (Allah ) daripadanya.” (Riwayat
al-Hakim dan ad-Dailami)
6. Berbuat baik dan menolong orang yang
lemah
Berbuat baik kepada orang yang lemah
ini termasuklah menggembirakan dan meraikan orang tua, orang sakit, anak yatim
dan fakir miskin, juga isteri dan anak-anak yang masih kecil. Sabda Nabi
s.a.w.:
“Tidaklah kamu diberi pertolongan dan
diberi rezeki melainkan kerana orang-orang lemah di kalangan kamu.” (Riwayat
Bukhari)
7. Tunaikan hajat orang lain
Menunaikan hajat orang menjadi sebab
Allah lapangkan rezeki dalam bentuk tertunainya hajat sendiri, seperti sabda
Nabi s.a.w.:
“Siapa yang menunaikan hajat saudaranya
maka Allah akan menunaikan hajatnya…” (Riwayat Muslim)
8. Banyak berselawat
Ada hadis yang menganjurkan berselawat
jika hajat atau cita-cita tidak tertunai kerana selawat itu dapat menghilangkan
kesusahan, kesedihan, dan kesukaran serta meluaskan rezeki dan menyebabkan
terlaksananya semua hajat. Wallahu a’lam.
9. Buat kebajikan banyak-banyak
Ibnu Abbas berkata:
“Sesungguhnya kebajikan itu memberi
cahaya kepada hati, kemurahan rezeki, kekuatan jasad dan disayangi oleh makhluk
yang lain. Manakala kejahatan pula boleh menggelapkan rupa, menggelapkan hati,
melemahkan tubuh, sempit rezeki dan makhluk lain mengutuknya.”
10. Berpagi-pagi
Menurut Rasulullah s.a.w., berpagi-pagi
(memulakan aktiviti harian sebaik-baik selesai solat Subuh berjemaah) adalah
amalan yang berkat.
11. Menjalin silaturrahim
Nabi s.a.w. bersabda:
“Barang siapa ingin dilapangkan
rezekinya dan dilambatkan ajalnya maka hendaklah dia menghubungi
sanak-saudaranya.” (Riwayat Bukhari)
12. Melazimi kekal berwuduk
Seorang Arab desa menemui Rasulullah
s.a.w. dan meminta pedoman mengenai beberapa perkara termasuk mahu dimurahkan
rezeki oleh Allah . Baginda s.a.w. bersabda:
13. Bersedekah
Sedekah mengundang rahmat Allah dan
menjadi sebab Allah buka pintu rezeki. Nabi s.a.w. bersabda kepada Zubair bin
al-Awwam:
“Hai Zubair, ketahuilah bahawa kunci
rezeki hamba itu ditentang Arasy, yang dikirim oleh Allah azza wajalla kepada
setiap hamba sekadar nafkahnya. Maka siapa yang membanyakkan pemberian kepada
orang lain, nescaya Allah membanyakkan baginya. Dan siapa yang menyedikitkan,
nescaya Allah menyedikitkan baginya.” (Riwayat ad-Daruquthni dari Anas .a.)
14. Melazimi solat malam (tahajud)
Ada keterangan bahawa amalan solat
tahajjud memudahkan memperoleh rezeki, menjadi sebab seseorang itu dipercayai
dan dihormati orang dan doanya dimakbulkan Allah .
15. Melazimi solat Dhuha
Amalan solat Dhuha yang dibuat waktu
orang sedang sibuk dengan urusan dunia (aktiviti harian), juga mempunyai rahsia
tersendiri. Firman Allah dalam hadis qudsi:
“Wahai anak Adam, jangan sekali-kali
engkau malas mengerjakan empat rakaat pada waktu permulaan siang (solat Dhuha),
nanti pasti akan Aku cukupkan keperluanmu pada petang harinya.” (Riwayat
al-Hakim dan Thabrani)
16. Bersyukur kepada Allah
Syukur ertinya mengakui segala
pemberian dan nikmat dari Allah . Lawannya adalah kufur nikmat. Allah
berfirman:
“Demi sesungguhnya! Jika kamu bersyukur,
nescaya Aku tambahi nikmat-Ku kepadamu, dan demi sesungguhnya jika kamu kufur,
sesungguhnya azab-Ku amat keras.” (Ibrahim: 7)
Firman-Nya lagi: “… dan Kami akan
memberi balasan kepada orang-orang yang bersyukur.” (Ali Imran: 145)
17. Mengamalkan zikir dan bacaan ayat
Quran tertentu
Zikir dari ayat-ayat al-Quran atau
asma’ul husna selain menenangkan, menjenihkan dan melunakkan hati, ia
mengandungi fadilat khusus untuk keluasan ilmu, terbukanya pintu hidayah,
dimudahkan faham agama, diberi kemanisan iman dan dilapangkan rezeki.
Misalnya, dua ayat terakhir surah
at-Taubah (ayat 128-129) jika dibaca secara konsisten tujuh kali setiap kali
lepas solat, dikatakan boleh menjadi sebab Allah lapangkan kehidupan dan
murahkan rezeki.
Salah satu nama Allah , al-Fattah (Maha
Membukakan) dikatakan dapat menjadi sebab dibukakan pintu rezeki jika
diwiridkan selalu; misalnya dibaca “Ya Allah ya Fattah” berulang-ulang,
diiringi doa: “Ya Allah , bukalah hati kami untuk mengenali-Mu, bukalah pintu
rahmat dan keampunan-Mu, ya Fattah ya ‘Alim.” Ada juga hadis menyebut, siapa
amalkan baca surah al-Waqi’ah setiap malam, dia tidak akan ditimpa kepapaan.
Wallahu a’lam.
18. Berdoa
Berdoa menjadikan seorang hamba dekat
dengan Allah , penuh bergantung dan mengharap pada rahmat dan pemberian
dari-Nya. Dalam al-Quran, Allah suruh kita meminta kepada-Nya, nescaya Dia akan
perkenankan.
19. Berikhtiar sehabisnya
Siapa berusaha, dia akan dapat. Ini
sunnatullah. Dalam satu hadis sahih dikatakan bahawa Allah berikan dunia kepada
orang yang dicintai-Nya dan yang tidak dicintai-Nya, tapi agama hanya Allah
beri kepada orang yang dicintai-Nya saja. (Riwayat Ahmad, Ibnu Abi Syaibah dan
al-Hakim)
Bagi orang beriman, tentulah dia perlu
mencari sebab-sebab yang boleh membawa kepada murah rezeki dalam skop yang
luas. Misalnya, hendak tenang dibacanya Quran, hendak dapat anak yang baik
dididiknya sejak anak dalam rahim lagi, hendak sihat dijaganya pemakanan dan
makan yang baik dan halal, hendak dapat jiran yang baik dia sendiri berusaha
jadi baik, hendak rezeki berkat dijauhinya yang haram, dan sebagainya.
20. Bertawakal
Dengan tawakal, seseorang itu akan
direzekikan rasa kaya dengan Allah . Firman-Nya:
“Barang siapa bertawakal kepada Allah ,
nescaya Allah mencukupkan (keperluannya) .” (At-Thalaq: 3)
Nabi s.a.w. bersabda:
“Seandainya kamu bertawakal kepada
Allah dengan sebenar-benar tawakal, nescaya kamu diberi rezeki seperti burung
diberi rezeki, ia pagi hari lapar dan petang hari telah kenyang.” (Riwayat
Ahmad, at-Tirmizi, Ibnu Majah, Ibnu Hibban, al-Hakim dari Umar bin al-Khattab
.a.)
Kesemua yang disebut di atas adalah
amalan-amalan yang membawa kepada takwa. Dengan takwa, Allah akan beri “jalan
keluar (dari segala perkara yang menyusahkan) , dan memberinya rezeki dari
jalan yang tidak terlintas di hatinya.” (At-Talaq: 2-3)
Pendek kata, bagi orang Islam, untuk
murah rezeki dalam ertikata yang sebenarnya, kuncinya adalah buat amalan-amalan
takwa. Amalan-amalan ini menjadi sebab jatuhnya kasih sayang Allah , lalu Allah
limpahi hamba-Nya dengan keluasan rezeki dan rasa kaya dengan pemberian-Nya.
Sumber: http://www.hanan.com.my/
No comments:
Post a Comment