Tuesday, July 17, 2012



Penyakit Bawaan Hati

Sekadar perkongsian santai untuk renungan bersama. Mungkin redup petang ini memungkinkan kita untuk berfikir sejenak tentang erti sebuah "perasaan"? Mengapa persoalan itu seharusnya saya ajukan atau mungkin petang yang semakin jingga ini telah mendesak benak saya untuk melunaskan apa yang telah bersarang di benak ini. "perasaan" ungkapan yang abstrak maksudnya. di manakah letaknya perasaan, seperti apakah rupanya, bagaimanakah bentuknya, subhanallah.. terjawabkah persoalan itu? betapa halusnya ciptaan Allah SWT dan atas setiap sesuatu itu ada hikmahnya.


Maksud utama yang ingin saya kongsikan betapa indahnya anugerah Allah atas setiap makhluk ciptaan-NYA meliputi seluruh yang hidup di dunia khususnya manusia dan juga haiwan telah diberikan oleh-NYA sesuatu yang halus pengertiannya, sesuatu yang tidak terlihat oleh pandangan, itulah "perasaan" yang melekap, melekat, dan hadir dalam segumpal darah bergelar HATI. Haiwan juga punya perasan dan yang membezakan antara perasaan haiwan dan juga manusia itulah akal. Akal yang Allah anugerahkan kepada manusia untuk menjadi timbangan baik dan buruk, untuk menjadi senjata penyelamat jiwa, iman dan akidah. Namun bukanlah akal yang aula untuk saya perkatakan dalam bicara santai ini, cuma yang ingin saya kongsikan dan perlu untuk di jadikan pokok bicara ini adalah tentang "perasaan".


Subhanallah, agungnya ciptaan Allah, sempurnanya kejadian Allah. Benar atau tidak, pernahkah kalian terfikir seperti mana saya berfikir bahawa sesungguhnya hanya dalam segumpal darah yang hitam pekat, tidak indah tidak buruk semata-mata daging yang kecil dan daging itu yang memandu diri kita, daging itu yang melabelkan darjat kita. Rendah tinggi tempat kita di sisi-NYA daging itu lah yang mewajarkan baik atau buruk, cantik atau hodoh, wangi atau busuk itulah penentunya.

Namun penyakit yang membarah dan parah, kian membusuk kuning bernanah telah bersarang dalam hati-hati umat manusia. Penyakit yang gelap pada pandangan mata, penyakit yang sepi tanpa suara, namun penyakit itulah yang kian membunuh kemanusiaan insani. Sedarkah kita bahawa hampir setiap hari, mungkin juga setiap waktu, detik dan saat kita telah menzalimi diri, kita mencipta sengketa hingga meracuni hati, kita berburuk sangka hingga mengundang benci. Sedarkah kita bahawa hampir setiap hari kita mencipta penyakit-penyakit hati. Bohonglah jika kita menafikan hakikat ini. Bertanya lah walau hanya bermonolog, kerana hati tidak pernah mendustai. 
Pernahkah kita merasa benci bila orang lain mengatasi? Benarkah kita marah bila diri diarah arah? Pernahkah memendam hingga menyemai dendam? segalanya pada hati. Hanya hati bisa memberi jawapan.
Cuma sedar atau tidak, terfikir atau tidak inilah hakikatnya. Hakikat bahawa kedamaian hati ini telah lenyap dan terhakis dek kerana iri hati, ketenangan jiwa ini telah punah hanya kerana dendam berapi. Wahai akal, jika hati ini bisa melafaz ingin saja dia merayu cukup lah engkau mengatur strategi, berhenti lah untuk mengadu domba, kerana bila saja nafsu menguasai akal tidak bisa lagi mengetuai hingga hati sendiri longlai lesu kerana tadahan iman tidak lagi membanjiri dan akhirnya handurlah sekeping hati dari segala fitrah kebaikkan dan rasa simpati.

Sebenarnya penyakit-penyakit hati inilah yang meragut kesempurnaan ciptaan  Ilahi ini. Di mana pun silap kita, bagaimana pun terjemahan kita, sebenarnya hanya kita yang berupaya mengubah diri kita. Pada hati yang punya rasa, pada akal yang punya kuasa, pada nafsu yang beraja, juga pada iman yang bertahta kitalah yang mencorakannya, mewarnai kendiri sama ada hitam atau putih dan serinya yang wewangi. Pilihan di tangan kita. Pilih lah untuk menjadi dewasa yang mengumpul pahala bukan memilih sekadar berusia namun sarat menggendong dosa, dan sesungguhnya kunci kepada sebuah kebaikkan ada pada hati. Jaga lah HATI jangan di kotori, jaga lah hati lentera hidup ini.

1 comment: