Tuesday, February 7, 2012

BERSANGKA BAIK

Hari ni masih dalam mood memujuk rasa, masih dalam mood mentarbiyah diri, dan juga yang paling penting mood muhasabah diri. Mintak-mintak mood yang ada ini bukanlah hanya ada pada hari ini, bukan hanya ada pada hari esok, tapi biarlah SENTIASA ADA dalam diri.

Peristiwa yang berlaku mengajak kita berfikir tentang peranan kita disaat dugaan yang sangat hebat sedang dihadapi oleh saudara kita. Tidak dinafikan tentang usaha murni serta tanggungjawab kita yang telah dilaksanakan sebelum ini. Pelbagai cara dan pendekatan yang diusahakan namun tidaklah menjadi hak kita untuk memastikan setiap usaha kita itu sentiasa berhasil dan terhasil mengikut kadar tempoh yang kita mahukan. Kita hanya mengusahakan tetapi atas Kuasa Allah jualah yang MAHA PEMBERI, atas aturan DIA jualah yang mengatur dengan MAHA BIJAKSANA.

Kerana tiap-tiap hati kita ini ALLAH jualah sebagai Pemunya. Dengan sebab itu, apa-apa pun kita kena rasa dalam hati bahawa setiap perkara yang berlaku walaupun sehelai daun kering yang gugur ke bumi ianya tetap dalam pengetahuan dan aturan Allah.

Maklang menginsafi diri Maklang sendiri..

“andai esok saat diri diuji dan diduga dengan sesuatu yang tidak terjangkau di akal yang sangat terbatas ini, banyak soalan yang perlu dijawab… Kuatkan aku? Sabarkah aku? Mampukah aku? Ikhlaskah aku menerimanya?

Namun…

Jawapan pada persoalan itu tidak jugak ketemu sehingga tiba saat diri diuji. Salah satu cara mungkin kita perlu mengambil dan meneroka IBRAH (Pengajaran) daripada mereka-meraka yang sedang teruji di sekeliling kita. Kita perlu sentiasa bersangka baik sama ada kepada pihak yang diuji dan yang paling penting sentiasa bersangka baik kepada Zat yang punya kuasa untuk memberi ujian & dugaan itu.

Pasti dan yakinlah bahawa setiap antara kita akan diuji dan diduga cumanya cara & bentuk ujian itu sahaja yang berbeza-beza mengikut kadar kemampuan kita.

Justeru itu.. maklang nak berkongsi tentang artikel yang ini, kerana ianya sangat signifikan untuk kita. Moga kita dapat mengambil Ibrah darinya.

BERSANGKA BAIK KETIKA DITIMPA MUSIBAH

DARIPADA Syaddad bin Aus dan Al-Sunabihi bahawa keduanya masuk melawat seorang sakit, lalu mereka bertanya kepadanya: "Bagaimana keadaanmu pagi ini? Ia menjawab: Aku berada dalam keadaan baik.

Syaddad berkata kepadanya: Bergembiralah engkau dengan perkara yang menghapuskan dosa dan menggugurkan kesalahan, kerana aku mendengar Rasulullah bersabda:

Sesungguhnya Allah berfirman:

Apabila aku menguji seseorang dari hamba-Ku yang mukmin dengan sesuatu penyakit, lalu ia memuji-Ku kerana ujian-Ku itu maka sesungguhnya ia akan bangkit dari tempat baringnya itu seperti masa ia dilahirkan ibunya, bersih daripada segala kesalahan, dan Tuhan berfirman kepada malaikat penulis amal itu: Aku sudah mengikat hamba-Ku itu dan mengujinya, maka lakukanlah kepadanya apa yang kamu biasa lakukan untuknya (menulis amal baiknya) ketika ia berkeadaan sihat." (Hadis riwayat Syaddad bin Aus dan Al-Sunabihi)

Alangkah beruntungnya mereka ditimpa ujian Allah, tetapi reda dengan keadaannya kerana tidak ramai daripada kita apabila didatangkan ujian sedangkan Allah menjanjikan amalan baik untuk mereka yang tidak merungut. Sepatutnya apabila berhadapan dengan keadaan kurang menyenangkan, hendaklah kita bersangka baik kerana mungkin itu untuk menghapuskan dosa atau peringatan supaya kita bermuhasabah diri.

Ada kalanya, teguran daripada ahli keluarga atau rakan menyebabkan kita marah dan enggan menerima kritikan, tetapi teguran Allah mungkin dengan cara mendatangkan musibah menimbulkan keinsafan untuk menilai kembali perkara yang kita lakukan.

Nabi SAW bersabda bermaksud:

"Tidak ada sesuatu menimpa seseorang Islam sama ada kepenatan, kesakitan, kesusahan memikirkan perkara yang akan datang, kedukaan, sesuatu yang menyakiti, atau kesusahan mengingatkan apa yang berlaku sehinggakan tikaman duri mencucuknya melainkan Allah hapuskan dengan sebabnya, sebahagian dari dosanya." (Hadis riwayat Abu Sa'id al-Khudri dan Abu Hurairah)

Begitu juga apabila didatangkan sakit berpanjangan, kita dilarang sekali berdoa meminta mati hanya kerana tidak tahan menanggung ujian sakit dan ingin ditamatkan segera kesakitan itu.

Sebaliknya, jangan kita berputus asa berdoa supaya diberi kesabaran dan pada masa sama mengharapkan belas ehsan-Nya supaya dikembalikan nikmat kesihatan. Ada kalanya, keadaan kita yang terdampar sakit bukan hanya kerana Allah ingin menguji kita, tetapi juga orang di sekeliling seperti ahli keluarga dan saudara mara.

Rasulullah SAW bersabda bermaksud:

"Jangan sekali-kali seseorang kamu bercita-cita hendakkan mati kerana sesuatu bencana yang menimpanya; jika keadaannya mendesaknya meminta mati, maka hendaklah ia memohon dengan berkata: Ya Tuhanku, hidupkanlah daku selagi hidup itu lebih baik bagiku, dan matikanlah daku apabila mati itu lebih baik bagiku." (Hadis riwayat Anas)

Wallahualam

rujukan : http://rabiah-addawiyah.blogspot.com

3 comments:

  1. kita x perlu bimbang kerana segala kesulitan yang datang mudah dihadapi sekiranya kita dekat dgn TUHAN. Petikan buku - Tuhanku Maha Best tulisan Muhammad D.Sensa

    ReplyDelete
  2. keadaan kita yang terdampar sakit bukan hanya kerana Allah ingin menguji kita, tetapi juga orang di sekeliling seperti ahli keluarga dan saudara mara.

    ReplyDelete
  3. Sabar itu membentuk jiwa manusia menjadi kuat dan teguh tatkala menghadapi bencana (musibah). Jiwanya tidak bergoncang, tidak gelisah, tidak panik, tidak hilang keseimbangan, tidak berubah pendirian. Tak ubahnya laksana
    batu karang di tengah lautan yang tidak bergeser sedikit pun tatkala dipukul ombak dan gelombang yang bergulung-gulung.

    ReplyDelete